Monday, April 4, 2011

1.1 Pengertian Seni


Kita sering menggunakan perkataan seni dalam menerangkan sesuatu yang kecil. Sel-sel seni merupakan istilah yang digunakan dalam kelas biologi. Tetapi, apakah maksud sebenarnya apabila seorang seniman dikatakan mempunyai seni yang unggul? Dalam bidang seni visual, seni merujuk kepada kemahiran dan kemampuan seseorang dalam menghasilkan dan mencipta sesuatu yang cantik dan indah. Pada zaman Renaissance, bidang seni merupakan suatu pekerjaan kerana orang berada sering mengupahkan seniman untuk menghasilkan karya seni yang cantik. Di Mesir pula, kemahiran seni itu selalunya dikaitkan dengan upacara ritual. Hasil berikut menggambarkan aktiviti pemburuan burung oleh Nebamun. Dua wanita itu adalah isteri dan anaknya. Komposisi dalam karya ini tidaklah realistik tetapi setiap haiwan memanglah diteliti dan dirakamkan secara terperinci. Hasil tersebut membuktikan tahap kemahiran orang dahulu adalah begitu tinggi dan unggul. Apakah kemahiran unggul yang anda ada? Adakah kemahiran ini memerlukan pancaindera yang sempurna?


Perhatian: Kemahiran dan kecekapan untuk menghasilkan karya seni juga termasuklah seni muzik, seni masak, seni silat dsb. Seni visual khususnya merujuk kepada hasil yang boleh diamati dengan deria penglihatan.

Aktiviti 1.1a: Hasilkan satu lakaran bersangkutan hidup di sekolah anda dengan menggunakan kolaj.

Perhatikan hasil karya berikut. Setujukah anda objek yang diolah itu cantik dan indah? Apakah alasan anda? Mujurnya, ramai mengatakan seniman ini mempunyai gaya tersendiri. Kadang-kala gaya itu amatlah aneh dan ahli sains sendiri pun tidak faham bagaimana hasil itu dibentuk. Kemahiran dalam bidang seni adalah amat tinggi dan luas. Batasannya merangkumi segala-gala aspek. Kita haruslah cari identiti sendiri untuk memajukan kemahiran tersebut. Gambar berikut menunjukkan hasil di bawah sedar (subconscious). Keberanian seniman tersebut dalam menghasilkan karya yang tidak realistik telah memberi nafas baru kepada aliran Surealisme - karya yang mengikis kebosanan.
Hasil seni perlulah mempunyai tiga ciri utama:
  • Nilai: hasil itu bernilai jika ia mempunyai ciri keindahan yang membolehkan seseorang menghayati dan mengerti nilai estetiknya melalui tafsiran pancaindera (deria) atau pengalaman intelektual. 
  • Fungsi: hasil itu mempunyai fungsi estetik, fungsi penggunaan atau kedua-duanya yang biasanya ditekankan oleh bidang perekaan. 
  • Makna: hasil itu mempunyai konsep dan mesej di sebaliknya yang ditekankan oleh bidang pengkaryaan. 
Aktiviti 1.1b: Cuba huraikan tiga ciri utama yang ada pada papan kenyataan di kelas anda. Jika ia tidak memiliki kesemua aspek tersebut, bagaimana anda menggunakan kemahiran seni untuk memaksimumkan papan kenyataan itu?

No comments:

Post a Comment