Monday, February 6, 2012

Announcement/Pengumuman

This page is no longer updated by the owner. Please find the latest information from the book authored by Chan Kar Weng. (The website does not display the text properly)

Halaman ini tidak akan dikemaskinikan oleh pemilik. Sila dapatkan maklumat terkini dari buku yang ditulis oleh Chan Kar Weng. (Laman web mungkin tidak memaparkan teks dengan betul)Buku STPM Seni Visual Edisi Ke-4

Wednesday, May 11, 2011

1.4 Pengkaryaan & Penggubahan Seni Visual

Pengkaryaan dan penggubahan merujuk kepada cara dan teknik seniman dalam menggunakan bahan/bahantara untuk menghasilkan sesuatu yang indah.

Aktiviti 1.4a: Keluarkan hasil seni yang diperoleh di tingkatan 5, semak teknik yang terlibat dalam penghasilan karya itu

Dalam seni, kita memilih media dan teknik yang sesuai untuk menghasilkan kesan tampak yang diingini. Untuk menghasilkan 'awan', kita boleh menggunakan cat air dan kertas sebagai media melalui teknik basah atas basah untuk menimbulkan kesan awan kepada penglihatan. 

Media merupakan alat, bahan atau bahanantara yang dipilih untuk proses penghasilan karya dan rekaan. Contohnya, bahan seperti pensil, pen, arang dsb merupakan alat utama untuk membuat sebuah lukisan. Manakala, warna pastel dan cat minyak adalah media yang digunakan dalam penghasilan sebuah catan. Tanpa media, hasil seni tidak mungkin dihasilkan. Media terbahagi kepada:
  1. Media kering: media yang tidak melibatkan sebarang cecair seperti warna pensel, arang, krayon, pen dsb. Ia seseuai digunakan untuk membuat lukisan.
  2. Media basah: media yang melibatkan penggunaan cecair seperti air dan minyak untuk menghasilkan kesan tampak yang lebih licin seperti cat minyak, cat air, warna pastel dsb.

Teknik pula adalah cara menggunakan media tersebut. Contohnya, pensel boleh menghasilkan garisan yang tebal lalu digosok untuk menghasilkan kesan ton pada sebuah lukisan. Maka teknik gosokan merupakan teknik dalam penghasilan lukisan itu. Teknik lain termasuklah glazing, sentuhan, titik, tiupan, impasto, sgraffito, frottage, alla prima dsb bergantung pada media yang digunakan. Kesemua tersebut adalah teknik konvensional yang telah wujud sejak zaman dahulu. Teknik moden ialah hasil inovasi seniman semasa mencari cara dan kaedah luar biasa untuk menghasilkan karya yang lebih unggul dalam bidang tertentu. Contohnya, tanah digunakan untuk menghasilkan sesuatu catan. Seni grafik komputer juga merupakan teknik moden (seni op).

Aktiviti 1.4b: Apakah media dan teknik yang boleh digunakan untuk menghasilkan kolaj.

Tuesday, April 5, 2011

1.3 Seni Visual dan Skopnya

Jika anda tahu, nama subjek ini sebelumnya dipanggil sebagai Pendidikan Seni. Kini, Pendidikan Seni Visual telah diperkenalkan, kenapa? Seperti yang ditekankan dalam modul sebelumnya, bidang seni merangkumi banyak aspek seperti seni masak, seni muzik, seni mempertahankan diri, seni tarian dsb. Untuk mengikis kekeliruan, istilah seni visual perlu diketengahkan kerana ia cuma fokus pada karya dan rekaan yang boleh dilihat melalui mata. Visual bermakna penglihatan. Seni visual biasanya mendorong seseorang itu menikmati dan mangamati hasil itu melalui penglihatan. Suatu masakan mungkin ialah hasil seni visual kerana ia dinilai melalui mata terlebih dahulu. Namun, rasa dan keenakan masakan itu barulah merupakan teras untuk tujuan masakan. Untuk menentukan sama ada sesuatu hasil adalah hasil seni visual, kita haruslah tentukan terlebih dahulu sama ada ia berasal daripada salah satu skop berikut. Skop seni visual agak luas. Ia biasanya diterangkan mengikut jenis hasilnya:

Pengkaryaan: hasil yang mempunyai nilai estetik dan makna di sebaliknya. Ia merujuk kepada lukisan, catan, arca dan cetakan. Karya biasanya dikecapi dengan menikmati kehalusan seni dan kecekapan seniman dalam menghasilkan karya itu.




Perekaan: hasil yang mempunyai nilai estetik dan nilai gunaan. Ia merujuk kepada bidang komunikasi visual, rekaan persekitaran dan rekaan teknologi. Rekaan merupakan sesuatu yang diperbaharui atau sesuatu yang dicipta untuk memenuhi kehendak manusia. Selain keindahan hasil itu, ia jugalah boleh berfungsi dengan baik. 


Aktiviti 1.3a: Pilih lima alat dari bilik darjah anda dan terangkan sama ada mereka adalah hasil seni visual.

Pengkaryaan: Seni halus: Seni halus akan menghasilkan karya sama ada berbentuk 2-dimensi seperti lukisan atau 3-dimensi seperti arca. Ia mencakupi bidang yang lebih profesional iaitu:
  • lukisan
  • catan
  • cetakan
  • arca
Perekaan: Perekaan juga boleh menghasilkaan rekaan 2-dimensi seperti risalah dan 3-dimensi seperti hiasan dalaman. Ia mencakupi bidang yang lebih profesional iaitu:
a.          Komunikasi visual:             1) seni reka grafik
                                                             2) multimedia
b.          Seni reka teknologi:            1) industri
                                                             2) automobil
                                                             3) seramik
                                                             4) fesyen
                                                             5) tekstil
c.          Seni reka persekitaran:      1) lanskap
                                                             2) hiasan dalaman




1.2 Aspek-aspek keindahan

Seni mempunyai pertalian rapat dengan keindahan. Kita sentiasa memberi komen tentang sesuatu yang indah ataupun hodoh, pernahkah kita fikirkan kriteria yang sepatut ada sebelum kritikan itu diberi? Selepas mengikuti kursus ini, anda haruslah mempunyai sekurang-kurangnya sedikit garispanduan untuk memberi komen tentang sesuatu karya.

Aktiviti 1.2a: Cuba keluarkan buku teks Bahasa Melayu dan beri kritikan tentang rekaan halaman utamanya. Perhatikan apa kriteria yang mungkin digunakan oleh anda. 

Apabila kita menyentuh tentang aspek keindahan, sesuatu karya haruslah mempunyai sekurang-kurangnya tiga aspek berikut:
  1. Hal benda: objek / imej sebagai sumber idea bagi sesuatu karya
  2. Komposisi: susun atur objek dan imej dalam karya dengan menggunakan unsur dan prinsip rekaan yang sesuai
  3. Kandungan: merangkumi 3 aspek
         tema   : subjek / idea dan konsep yang menjadi tulang belakang dalam karya dan
         makna : makna / mesej yang hendak disampaikan melalui karya itu atau
         fungsi  : kegunaan sesuatu karya sama ada fungsi estetik atau penggunaan

Perhatikan portrait Vincent van Gogh semasa beliau masih sihat, hal benda ialah dirinya sendiri yang menjadi sumber idea untuk karya berikut. Beliau telah berjaya menggunakan garisan pendek yang berpancar secara 'eccentric' untuk menggambarkan sifat keriangan. Irama dan imbangan adalah prinsip utama semasa beliau mengatur objek, warna dan garisan dalam karya tersebut. Tema karya ini ialah keriangan dan keceriaan kerana beliau ingin menyampaikan mesej bahawa dia amat gembira dan ceria dalam menerokai kaedah-kaedah semulajadi dalam pengolahan seni. Karya ini berfungsi estetik dan amatlah indah bagi generasi moden sebagai rujukan. 

.
Aktiviti 1.2b: Cari satu lagi portrait Vincent van Gogh dan beri komen anda dalam aspek keindahan.

Monday, April 4, 2011

1.1 Pengertian Seni


Kita sering menggunakan perkataan seni dalam menerangkan sesuatu yang kecil. Sel-sel seni merupakan istilah yang digunakan dalam kelas biologi. Tetapi, apakah maksud sebenarnya apabila seorang seniman dikatakan mempunyai seni yang unggul? Dalam bidang seni visual, seni merujuk kepada kemahiran dan kemampuan seseorang dalam menghasilkan dan mencipta sesuatu yang cantik dan indah. Pada zaman Renaissance, bidang seni merupakan suatu pekerjaan kerana orang berada sering mengupahkan seniman untuk menghasilkan karya seni yang cantik. Di Mesir pula, kemahiran seni itu selalunya dikaitkan dengan upacara ritual. Hasil berikut menggambarkan aktiviti pemburuan burung oleh Nebamun. Dua wanita itu adalah isteri dan anaknya. Komposisi dalam karya ini tidaklah realistik tetapi setiap haiwan memanglah diteliti dan dirakamkan secara terperinci. Hasil tersebut membuktikan tahap kemahiran orang dahulu adalah begitu tinggi dan unggul. Apakah kemahiran unggul yang anda ada? Adakah kemahiran ini memerlukan pancaindera yang sempurna?


Perhatian: Kemahiran dan kecekapan untuk menghasilkan karya seni juga termasuklah seni muzik, seni masak, seni silat dsb. Seni visual khususnya merujuk kepada hasil yang boleh diamati dengan deria penglihatan.

Aktiviti 1.1a: Hasilkan satu lakaran bersangkutan hidup di sekolah anda dengan menggunakan kolaj.

Perhatikan hasil karya berikut. Setujukah anda objek yang diolah itu cantik dan indah? Apakah alasan anda? Mujurnya, ramai mengatakan seniman ini mempunyai gaya tersendiri. Kadang-kala gaya itu amatlah aneh dan ahli sains sendiri pun tidak faham bagaimana hasil itu dibentuk. Kemahiran dalam bidang seni adalah amat tinggi dan luas. Batasannya merangkumi segala-gala aspek. Kita haruslah cari identiti sendiri untuk memajukan kemahiran tersebut. Gambar berikut menunjukkan hasil di bawah sedar (subconscious). Keberanian seniman tersebut dalam menghasilkan karya yang tidak realistik telah memberi nafas baru kepada aliran Surealisme - karya yang mengikis kebosanan.
Hasil seni perlulah mempunyai tiga ciri utama:
  • Nilai: hasil itu bernilai jika ia mempunyai ciri keindahan yang membolehkan seseorang menghayati dan mengerti nilai estetiknya melalui tafsiran pancaindera (deria) atau pengalaman intelektual. 
  • Fungsi: hasil itu mempunyai fungsi estetik, fungsi penggunaan atau kedua-duanya yang biasanya ditekankan oleh bidang perekaan. 
  • Makna: hasil itu mempunyai konsep dan mesej di sebaliknya yang ditekankan oleh bidang pengkaryaan. 
Aktiviti 1.1b: Cuba huraikan tiga ciri utama yang ada pada papan kenyataan di kelas anda. Jika ia tidak memiliki kesemua aspek tersebut, bagaimana anda menggunakan kemahiran seni untuk memaksimumkan papan kenyataan itu?